Wednesday, April 2, 2008

Islam vs Insurans

Sebetulnya ini bukan merupakan topik pilihan saya. Malah saya sebenarnya tidak bercadang sama sekali ingin menyentuh topik ini. Namun oleh kerana ada pihak yang bertanya secara umum di forum terbuka, ini memaksa saya menjawab secara umum di forum terbuka juga tentang hukum insurans. Saya katakan umum kerana pihak yang bertanya tidak menyoal secara spesifik, maka itu jawapan saya juga umum menjadikan artikel ini amat panjang, agak radikal dan barangkali sensetif. Oleh itu adalah ditegaskan yang artikel ini merupakan pendapat peribadi saya berdasarkan nas dan dalil yang dihujahkan. Ia tidak menggambarkan pendirian mana - mana syarikat insurans.

1) Mengapa semua salah faham ini terjadi ?
2) Adakah benar Life Insurans itu Insurans Nyawa ?
3) Adakah benar Life Insurans itu Muamalah Jual-Beli Pampasan ?
4) Apakah barang (subject matter) dalam aqad Life Insurans ?
5) Adakah patut Jaminan Perlindungan ini diberi secara percuma ?
6) Apa fungsi Life Insurans sebenarnya ?
7) Insurans Konvensional
8) Persoalan berkenaan unsur gharar (tidak ketentuan) ?
9) Adakah benar riba wujud di dalam Life Insurans ?
10) Bagaimana dengan isu timbangan yang tidak sama (Riba Al-Fadl)
11) Isu penangguhan dalam penyerahan 'barang' (Riba An-Nasi'ah)
12) Unsur Maisir (Judi) di dalam kontrak insurans ?
13) Mengapa Insurans itu bukan judi?
14) Untung vs Kebajikan
15) Kaunter halal di BSKL
16) Tawakal
17) Penutup

Islam vs Insurans

Apa itu Life Insurans sebenarnya : perniagaan jual beli nyawa, urusan jual beli pampasan, skim buat untung dalam sekelip mata, mendapat wang atas musibah yang melanda ?

Mengapa semua salah faham ini terjadi ?

Salah faham dikalangan orang Melayu ini mula berlaku seawal tahun 70 an lagi apabila industri insurans mula bertapak di Malaysia. Sebabnya mudah : tidak faham konsep asas insurans lantaran semua teks dan ilmu mengenai insurans hanya boleh didapati di dalam versi bahasa Inggeris.

Ini membuatkan banyak tanggapan (negetif) dibuat oleh orang – orang Melayu yang pada waktu itu tinggal di kampung dan tidak mempunyai pendidikan tinggi yang mengaitkan Life Insurans sebagai satu urusan jual-beli nyawa atau jual-beli pampasan.

Salah faham ini kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Betapa hebatnya kesan salah faham ini hinggakan masyarakat Melayu memandang Life Insurans sebagai satu benda negatif, dikeji malah haram !


Adakah benar Life Insurans itu Insurans Nyawa ?

Semua insurans dibuat berdasarkan nilai risiko. Jadi saya tanya anda adakah insurans itu menilai nyawa seseorang ? Ooo… anda umur 70 tahun, nilai nyawa anda RM 6002. Kalau anda umur 35 pula, nilai nyawa anda RM 1302. Begitu ??

Tidak ! Insurans tidak menilai atau meletak harga ke atas nyawa seseorang. Malah anda tidak perlu kehilangan nyawa untuk menerima pampasan insurans ! Dalam realiti, pampasan insurans tetap berbayar samada kerana beliau cacat keseluruhan, mengalami penyakit kritikal, ditimpa kemalangan atau sekadar menerima rawatan di hospital. Jadi kefahaman bahawa Life Insurans = Insurans 'Nyawa' adalah salah !

Untuk menguatkan hujah saya khasnya kepada mereka yang tidak mahir berbahasa Inggeris, istilah life jika dirujuk di dalam kamus akan memberi banyak makna selain dari ‘nyawa’. Setuju ? Dan dari banyak - banyak makna yang ada, maksud yang tepat dalam konteks ini ialah KEHIDUPAN.

Sebagai contoh apabila seseorang bertemu rakan lama dan bertanya “How's you life now ?". Jika dialihbahasakan adakah dia bertanya “bagaimana nyawa anda sekarang ?”. Adakah anda setuju dengan hujah saya sekarang ? Apa yang beliau maksudkan ialah bertanya khabar akan kehidupan rakannya kini samada sudah berkahwin atau belum, kerja sekarang ok ke, anak isteri sihat ke dsbnya lagi...

Jadi tidak hairanlah apabila tafsiran dibuat pada pemahaman yang salah, masyarakat ketika itu mempersoal samada nyawa seseorang itu boleh dijual-beli atau diletakkan harga. Kena pulak dengan bangangnya mufti ketika itu, dengan bodoh sembong beliau mengeluarkan fatwa mengharamkan insurans ‘nyawa’.

Adakah benar Life Insurans itu Muamalah Jual-Beli Pampasan ?

Masih lagi cerita dizaman 70 an. Pada waktu itu timbul salah faham mengenai insurans di mana masyarakat (Melayu) menyangka insurans ialah satu urusan jual-beli pampasan hinggakan pada tahun 1979 fatwa (dikeluarkan oleh orang yang tidak arif) dikeluarkan yang mengharamkan Insurans Nyawa kerana ia ditakrifkan sebagai satu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah), yang tidak sesuai dengan prinsip - prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba. Tetapi adakah benar Life Insurans itu satu muamalah jual beli pampasan?

Saya ambil contoh situasi sebenar yang berlaku apabila anda membuat pinjaman perumahan di bank. Apabila bank meminta anda memastikan bahawa pinjaman anda tetap berbayar walaupun anda mati atau cacat kekal, adakah bank menyuruh anda membeli pampasan dari pihak tertentu ? Cuba anda renung @ imbas kembali pengalaman anda membeli rumah betul - betul, adakah bank ada menyuruh anda membeli pampasan atau tidak ?

Tidak bukan? Apa yang bank mahukan hanyalah JAMINAN PERLINDUNGAN atau JAMINAN KEWANGAN dari anda di mana jika anda mati atau lumpuh, pinjaman rumah anda itu masih tetap dibayar oleh penjamin anda. Siapa yang menjadi penjamin untuk satu jumlah pinjaman yang besar seperti itu ? Kawan – kawan ? Adik – beradik ? Ibu bapa ? Pinjaman peribadi RM 10,000 pun semua orang takut nak jadi penjamin inikan pula pinjaman rumah yang bernilai ratusan ribu ! Jadi ternyata jaminan seperti ini tidak mampu dipegang jika diserahkan kepada seseorang.

Dalam industri kewangan, jaminan perlindungan tersebut disediakan oleh sebuah institusi kewangan yang dipanggil syarikat insurans dan tugas syarikat insurans adalah untuk menyediakan jaminan perlindungan ke atas risiko - risiko asli tertentu sahaja. Jadi point saya ialah , syarikat insurans tidak berjual-beli pampasan sebaliknya memberi jaminan perlindungan.
Apakah barang (subject matter) dalam aqad Life Insurans ?

Saya berpendapat, ‘barang’ di dalam aqad Life Insurans adalah JAMINAN PERLINDUNGAN (yang diberi dalam bentuk JAMINAN KEWANGAN secara bertulis : POLISI INSURANS) kerana hanya dengan membeli insurans sahaja anda akan menerima jaminan perlindungan (dibuktikan melalui dokumen bernama ‘polisi insurans’). Jika anda rujuk kepada istilah Takaful sendiri, ia membawa maksud kepada “jamin-menjamin” dan bukannya ‘menjual / mengutip pampasan’.

Berbalik kepada isu jaminan kepada bank bagi pinjaman perumahan tadi. Pihak bank hanya akan percaya anda sudah ada jaminan perlindungan apabila anda sudah memiliki polisi insurans ; satu dokumen yang sah disisi undang - undang. Tanpa jaminan ini pinjaman anda tidak dapat diluluskan. Dan polisi insurans ini hanya akan anda perolehi jika anda menyertai skim insurans yang dikelolakan oleh syarikat insurans yang sah (dan kalau boleh berprestij), dimana fungsinya adalah untuk memberi jaminan perlindungan kepada peserta yang mencarum.

Adakah patut Jaminan Perlindungan ini diberi secara percuma ?

Mungkin anda tertanya-tanya mengapa jaminan perlindungan ini perlu dikenakan caj. Saya bawa anda analogi ini. Masih ingat suatu masa dulu (kira – kira 10 tahun lepas barangkali), ramai orang berlumba – lumba mencari kakitangan kerajaan untuk menjadi penjamin bagi pinjaman peribadi (khasnya dari Bank Rakyat) ?

Apa yang terjadi kepada kakitangan kerajaan ini sekarang ? Ramai yang terpaksa menanggung hutang yang mereka tidak buat kerana si peminjam melarikan diri tidak membayar pinjaman mereka. Inilah gara-gara memberi jaminan perlindungan / jaminan kewangan secara percuma !

Sekarang, berapa ramai kakitangan kerajaan yang anda jumpa sekarang sanggup menjadi penjamin untuk pinjaman peribadi orang lain, hatta kawan baik, kawan sepejabat, jiran sebelah rumah pun ? Apatah lagi nak jamin seseorang yang kita tidak kenal. Lagilah mustahil kan ? (Jika ada, beritahu saya, saya pun nak pinjam juga hahahahaha)

Sebab itulah, setiap peserta yang menyertai Life Insurans dikenakan bayaran berdasarkan risiko kehidupan yang mereka bawa. Tidak ada syarikat insurans yang sanggup beri jaminan perlindungan begitu sahaja tanpa apa-apa caj. Kerana syarikat insuran dan anda saling tidak mengenali. Malah kalau kenal pun masih tidak mahu menjadi penjamin kerana risiko dan pengalaman penipuan yang telah berlaku. Setuju ?

Sesuatu yang anda terlepas pandang, anda tidak memiliki Life Insurans dengan wang ringgit ! Anda dapat membelinya dengan status kesihatan anda ! Jika kesihatan anda tidak mengizinkan, RM 1 juta pun tidak laku di syarikat insurans.

Di Malaysia, jumlah caj insurans ini dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia dan struktur caj insurans ini dibuat mengikut standard piawaian antarabangsa mengikut Akta Insurans 1996.
Apa fungsi Life Insurans sebenarnya ?

Ramai orang menyangka insurans ini satu skim untuk buat untung. Kalau tidak untung, maka dia pasti akan rugi. Maka kalau rugi maka hukumnya haram. Pelik bin ajaib. Saya sendiri hairan, dari mana dia belajar semua ni …??

Menurut teori kewangan (teori ini ciptaan barat ye, bukan ilmuan Islam), insurans hanya memberi jaminan perlindungan berdasarkan kerugian kewangan (financial loss) yang dialami dan kerugian ini mestilah tidak boleh memberi keuntungan sebaliknya hanya menutup kerugian kewangan (indemnity) yang dialami akibat risiko atau musibah asli tertentu.

Jadi bagaimana anda boleh buat untung atas musibah yang melanda ? Tak boleh..!!

Insurans Konvensional

Ada orang kata insurans konvensional ni haram sebab ikut undang – undang sivil. Yang halal mesti ikut undang – undang syariah, selain syariah semua haram ! Untuk menguatkan hujahnya beliau dengan berkobar – kobar memberi perumpaan kononnya nikah cara sivil (macam orang Cina nikah di Pej. Pendaftaran Negara tu) kan ke haram sebab tak ikut syariah..

Saya geleng kepala…. Geleng kepala kerana ilmu tak cukup tapi pandai pandai - pandai buat persamaan. Insurans tidak sama dengan nikah kahwin saudara… Kenapa ?

1) Akta Insurans & Akta Takaful, kedua-duanya berada di bawah undang - undang sivil ! Checkmate. Tak payah nak berdebat lagi.
Semua syarikat insurans baik konvensional mahupun Takaful dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia. Akta Takaful mahupun syarikat Takaful sekalipun tidak pernah di bawah kawalan Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Jabatan Agama Islam. Anda tahu fakta ini ?
2) Hanya kerana ia satu undang-undang sivil, tidak bermakna urusannya menjadi haram. Ini kerana Takaful yang dibuat mengikut prinsip syariah dan di bawah undang-undang sivil. Jadi saya nak tanya kepada hamba Allah yang memandai – mandai buat persamaan tadi “apakah pula hukum Takaful tersebut ?”

Analoginya undang-undang lalu-lintas Malaysia adalah undang – undang sivil. Anda kena saman sebab potong double line. Boleh ke anda menafikan saman tersebut semata – mata kerana anda orang Islam yang tidak percayakan undang-undang sivil dan mahu dibicarakan di mahkamah Islam (mahkamah syariah ?)

Satu contoh lagi ialah sijil kahwin. Katakan semasa melanjutkan pelajaran di UK dulu saya menikah di sana. Wali hakim dan 2 orang saksi terdiri daripada petugas masjid. Sijil nikah yang dikeluarkan oleh kerajaan Britain ini ialah sijil perkahwinan sivil.

Tetapi sekembalinya ke Malaysia, Jabatan Agama Islam mengesahkan perkahwinan saya sah di sisi syarak kerana semuanya dibuat mengikut hukum Islam dan mereka mengeluarkan surat nikah Jabatan Agama Islam untuk kemudahkan urusan lanjut kami suami isteri di tanah air. Jadi jelas sijil nikah sivil saya tetap sah dan diterima-pakai oleh Jabatan Agama Islam.

Persoalan berkenaan unsur gharar (tidak ketentuan) ?

Pertama sekali subject matter di dalam Life Insurans ini harus ditakrifkan sebagai jaminan perlindungan dan dengan itu segala persoalan gharar, riba dan maisir (judi) akan terjawab secara automatik.

Ini kerana polisi insurans (jaminan perlindungan) adalah dokumen undang – undang mengenai Life Insurans yang menyatakan dengan jelas hak anda dan hak syarikat dalam tempoh jaminan tersebut seperti jumlah pampasan yang diberi dalam tempoh jaminan, caj yang dikenakan ke atas jaminan, bagaimana pampasan boleh dibuat, apa tempoh masa membuat tuntutan, apa dokumen yang diperlukan untuk membuktikan musibah anda dsbnya [1].

Apabila anda memenuhi syarat - syarat perjanjian di dalam polisi anda, tiada sebab syarikat menafikan wang anda !! Semua ini dibuat dengan jelas mengikut piawaian Bank Negara Malaysia dan Akta Insurans 1996 [2].

Jaminan perlindungan dan polisi insurans boleh dibuktikan samada di mahkamah sivil, mahkamah syariah mahupun dalam industri perbankan. Mahkamah syariah juga mengesahkan pampasan insurans konvensional adalah suatu harta pusaka yang perlu difaraidkan di kalangan pewaris si mati. Ini bermakna, mereka mengiktiraf bahawa jaminan perlindungan itu wujud dan pampasan tersebut perlu dibahagi-bahagikan mengikut sistem pusaka Islam.

Jadi saya tanya anda di mana unsur ketidaktentuan tersebut… Tolonglah beritahu saya… Saya merayu sebab saya tak jumpa unsur – unsur tersebut… Yang ada ialah makhluk alam yang tak baca polisi insurans, yang tak tahu apa hak – haknya dan kemudian bising tak boleh claim ! Cerdik ke orang macam ni ?
Adakah benar riba wujud di dalam Life Insurans ?

YA. Saya jawab soalan di atas secara direct, mudah anda nak faham. TAPI unsur riba wujud HANYA pada polisi insurans lama (traditional life policy) DAN riba berlaku hanya apabila seseorang itu mengeluarkan simpanan insuransnya (policy loan : pinjaman dari polisi) sebelum tempoh matang (Interest yang dikenakan dari pinjaman inilah yang mewujudkan riba). Itu sahaja. Ertinya jika anda tidak membuat pinjaman dari simpanan insurans anda, teruskan simpanan hingga tempoh matang, tak adalah unsur riba ni…

TETAPI tradisonal life policy hanya sejarah kerana kini semua pelan insurans baru berbentuk Investment-Linked Insurance. Senang cakap 100 % bersih dari riba. Bagaimana tu ? Setiap pengeluaran simpanan insurans dianggap penjualan semula unit saham amanah anda kepada syarikat insurans dan bukannya satu pinjaman.

Bagaimana dengan isu timbangan yang tidak sama (Riba Al-Fadl)

Anda tentu perasan bayaran yang anda buat adalah murah sedangkan pampasan yang diterima berpuluh – puluh kali ganda. Analoginya mari kita lihat perniagaan kelab sukan(gym) yang mengenakan anda yuran (tak kisahlah yuran tahunan ke yuran keahlian ke). Adakah anda beli mesin exercise atau beli ‘kesihatan’ dengan bayaran tersebut ? Kedua – duanya pun bukan ? Apa yang anda beli atau bayar sebenarnya adalah untuk keahliannya. Apa bukti keahlian anda ? Anda ada kad keahlian, anda boleh guna kemudahan di kelab. Simple.

Sama juga dengan Life Insurans. Anda bukan beli pampasan sebaliknya anda beli jaminan perlindungan. Apa bukti anda anda jaminan perlindungan ? Anda ada polisi insurans, anda boleh buat tuntutan dari syarikat insurans.. Sama tak ?

Polisi insurans ni umpama kad keahlian kelab gym tadi. Anda bayar keahlian gym katakan RM 971 sebulan tapi dapat guna mesin exercise yang bernilai ratusan ribu ringgit lengkap dengan trainer berpendapatan RM 1200 sebulan serta kemudahan kolam renang dan sauna yang eksklusif bernilai hampir sejuta ringgit, tanpa had ! Mungkinkah semua ini diperolehi dengan nilai RM 971 sahaja ?

Ya ia mungkin (boleh) kerana kelab hanya menjual keahlian, bukan jual trainer aerobik, kemudahan sauna mahupun mesin exercise ! Dan mereka buat perniagaan ini untuk satu kumpulan ahli yang besar, bukan seorang dua. Jadi keahlian dapat diberikan dengan harga yang murah dan hasil kutipan dari semua ahli, kelab dapat menyediakan semua kemudahan ini.

Sama juga dengan Life Insurans, sebab itulah dengan hanya RM 37.50 sebulan, anda sudah boleh dapat jaminan perlindungan RM 100,000 sebab syarikat insurans hanya beri jaminan perlindungan sahaja, bukan jual-beli pampasan atau nyawa anda.

“Apa gunanya saya di beri jaminan perlindungan ini kalau pampasan tak dapat ?” tanya hamba Allah ini lagi.
Inilah masalah orang yang tidak faham konsep insurans. Tak tahu tanya tak pa, tapi tak tahu buat bising ni yang mengacau ! Jaminan perlindungan ini boleh anda gunakan untuk menyokong permohonan pinjaman anda di bank. Saya pasti setiap bank akan minta jaminan perlindungan sebelum mereka meluluskan pinjaman rumah beratus ribu. Bank bukan suruh anda beli pampasan, bank suruh anda sediakan jaminan perlindungan sahaja iaitu pihak yang sanggup bayar sejumlah wang bagi pihak anda apabila anda ditimpa musibah ! Jadi jika musibah menimpa anda, waris ada wang untuk bayar baki pinjaman. Kan ke senang waris kita nanti.. Tak sayang waris ? Siapa waris ? Anak dan isteri kan ???

Bagi yang gentleman, jaminan perlindungan ini boleh digunakan untuk meyakinkan tunang atau isteri yang dia seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap masa depan keluarganya. Lelaki dapat memberi jaminan yang kehidupan keluarga (isteri bersama anak yang masih kecil) masih akan berjalan seperti biasa walaupun dia sudah tiada atau tidak lagi berupaya untuk mencari nafkah akibat lumpuh hanya dengan memiliki Life Insurans.

Jadi, saya berpendapat, isu Riba' Al-Fadl ini sepatutnya tidak wujud jika seseorang itu benar - benar memahami konsep asas insurans atau sekurang – kurangnya analogi yang saya berikan tadi. Ini kerana, jika benarlah isu timbangan tidak sama ini adalah riba, maka semua insurans am (insuran kereta misalnya) juga patut diharamkan kerana timbangan tidak sama.

Bayar insurans kereta murah, perlindungan berpuluh ribu. Insurans kebakaran rumah bayar RM 100 setahun sahaja, perlindungan sampai RM 100,000. Bukankah jelas yang tidak sama timbangan ?

Jadi kepada mereka yang tersilap mengeluarkan fatwa tahun 1979 dahulu harus bertanggungjawab untuk menjawab soalan saya : “Mengapa insurans am (insurans kereta la katakan) dihalalkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sedangkan ia jelas mengandungi unsur Riba’ Al-Fadl ?, sama seperti hujah agama yang beliau gunakan ke atas Life Insurans ?” Saya telah jawab tadi, jika istilah ‘life’ yang dijadikan sandaran maka beliau buta huruf ! Pi belajar balik bahasa Inggeris darjah 6..

Sebab itulah saya berpendapat, fatwa dan hukum yang dibuat mengenai Life Insurans tidak tepat kerana fatwa dan hukum agama dibuat dengan hujah - hujah yang tidak konsisten (Life Insurance nyawa haram kerana ada Riba Al-Fadl tapi insurans am halal walaupun jelas mempunyai Riba Al-Fadl juga).

Ketidaktepatan ini berlaku kerana fatwa dan hukum ke atas Life Insurance dibuat tanpa pemahaman yangjelas, pengetahuan yang sangat lemah dakan perjalanan insurans itu sendiri terutamanya terdapat banyak perubahan yang sudah berlaku di dalam industri insurans sekarang (traditional life policy vs Investment-Linked Insurance).

Isu penangguhan dalam penyerahan 'barang' (Riba An-Nasi'ah)

Isi ini sebenarnya juga sudah tidak wujud lagi di dalam Investment-Linked Insurance. Ini kerana apabila seseorang itu membayar premium insuransnya, jaminan perlindungannya wujud serta-merta semasa aqad dibuat (syarikat insurans sudah pun menanggung liabiliti ke atas peserta itu apabila wang diserahkan). Jika dia mati atau cacat kekal kerana kemalangan pada keesokan harinya, pampasan insurans tetap akan berbayar. Saya cabar anda untuk semak kenyataan saya ini dengan mana - mana syarikat insurans samada konvensional mahupun Takaful. Adakah saya berbohong ??

Unsur Maisir (Judi) di dalam kontrak insurans?

Ada orang menganggap membeli insurans umpama satu perjudian ke atas sesuatu yang belum pasti berlaku. Saya tanya anda, apa yang belum pasti berlaku tu ? Saya percaya ramai yang akan jawab “belum tentu saya akan terima pampasannya lagi… Saya mungkin tidak ditimpa kemalangan.. Bukan ke malang tidak berbau ?”

Ecewah… Begitu molek ayat beliau. Saya tidak hairan anda merasakan insurans itu seumpama judi. Persepsi bahawa insurans adalah jual-beli pampasan harus terlebih dahulu diubah dengan cara memahami konsep asas insurans. Sebaik sahaja anda bayar, jaminan perlindungan akan diberikan. Jadi saya tanya anda kembali, bukankan itu sesuatu yang sudah ‘pasti’ ? Sebab itulah saya berpendapat unsur Maisir (Judi) tidak wujud kerana : -

1) Peserta membayar jumlah yang kecil kerana dia hanya membeli jaminan perlindungan dan bukannya membeli pampasan. Dan wang yang diberi oleh syarikat insurans juga lebih berbentuk sumbangan yang datangnya dari hasil kutipan semua peserta di dalam satu kumpulan besar.
2) Wang yang dibayar sebenarnya tidak hangus kerana jaminan perlindungan sudah pun diberikan dari awal – awal lagi. Anda sudah pun mendapat 'barang' yang dibayarnya yakni jaminan perlindungan. Tambahan pula, sepanjang tempoh jaminan, peserta bukan sahaja mendapat layanan dari syarikat insurans, malahan khidmat nasihat profesional dari consultant itu sendiri. Jadi segala-galanya jelas bahawa peserta sudah pun mendapat apa yang dibayarnya.
3) Syarikat insurans tidak rugi walaupun membayar tuntutan pampasan berpuluh-kali ganda yang melebihi nilai premium yang anda bayar. Ini kerana wang dikutip oleh ahli di dalam satu kumpulan yang besar dan hanya peratusan kecil peserta yang membuat tuntutan dari kumpulan besar tadi. Tambahan pula wang pampasan yang dibayar bukannya datang dari wang syarikat sebaliknya dari sumbangan setiap peserta yang diterima di dalam satu kumpulan besar tersebut. Tuntutan berjuta-juta ringgit setiap tahun pun, syarikat insurans masih lagi untung kerana operasi perniagaan mereka dibuat secara menyeluruh, di dalam satu kumpulan besar dan bukan terhad kepada satu - satu urusan jual-beli. Ini boleh dilihat dari laporan tahunan mana-mana syarikat insurans.

Mengapa Insurans itu bukan judi?

1) Pertamanya judi itu mewujudkan risiko (ketidakpastian menang atau kalah) sedangkan insurans itu menutup risiko sedia-ada (pasti menerima imbuhan apabila sesuatu berlaku).

2) Keduanya judi itu untuk menyediakan keuntungan kepada mereka yang kena sedangkan insurans menutup kerugian kewangan (indemnity) kepada peserta yang ditimpa musibah dan tidak boleh mewujudkan keuntungan ke atas nyawa @ musibah yang berlaku.

3) Orang yang kalah judi akan kehilangan segala pertaruhan @ wang yang dibayarnya tadi sedangkan wang premium dana insurans diberi semula berserta dividen apabila tiba tempoh matang.

4) Judi itu membayar duit kepada mereka yang bernasib baik sedangkan indemnity insurans diberikan kepada peserta yang tidak bernasib baik (ditimpa musibah tertentu).

5) Sesiapa pun layak berjudi tetapi dalam insurans, hanya mereka yang mempunyai kepentingan diinsuranskan [3] sahaja boleh memohon.

6) Judi dibuat dengan duit sedangkan insurans hanya boleh dibuat dengan status kesihatan. Jika kesihatan anda tidak mengizinkan, duit sejuta pun tak laku!

Jadi dimananya judi itu sama dengan insurans ?

Insurans konvensional hanya mementingkan untung semata-mata dan tidak seperti Takaful yang lebih mementingkan kebajikan

Jangan pening – pening. Pertama sekali saya katakan tidak ada satu syarikat insurans pun di Malaysia ni didaftarkan sebagai satu badan kebajikan. Semuanya didaftarkan sebagai satu perniagaan, tak kiralah syarikat insurans konvensional ke Takaful ke…. Bukankah matlamat asas perniagaan adalah mencipta keuntungan ?

En Azman Ismail (Hijrah Strategic Advisory Group) dalam artikelnya di laman web LIAM berhujah di dalam Sidang Kemuncak Takaful di Bahrain 1997 bahawa perjalanan syarikat - syarikat Takaful di Malaysia adalah berbentuk perniagaan dan bukannya dilakukan dalam bentuk koperasi atau kerjasama seperti yang disarankan oleh ulama - ulama sedunia.

Kedua, jangan mudah menuduh syarikat konvensional hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Saya beri bukti Kad Perubatan Sihat Malaysia. MAA dan syarikat – syarikat lain masih lagi mengekalkan produk insurans perubatan ini demi menjaga kebajikan masyarakat walaupun kami (syarikat – syarikat insurans) tahu dan sedar kami mengalami kerugian. Bagi setiap RM 1 premium yang dikutip, MAA terpaksa membayar semula RM 1.60 untuk menanggung bil perubatan hospital peserta. Produk ini masih lagi dijual tanpa prejudis dan kami tidak dapat menaikkan harga kad untuk menampung kerugian kerana dikawal-selia oleh Program Kesihatan Kebangsaan Malaysia.

Contoh - contoh lain, MAA sendiri memiliki 8 pusat rawatan dialysis buah pinggang di seluruh Malaysia yang bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan. Selain itu, MAA juga membantu BUDIMAS, (Yayasan Kebajikan Tuanku Permaisuri Agong) menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka yang tidak berkemampuan dan kurang upaya. Banyak juga aktiviti kebajikan yang MAA taja. Sudah menjadi lumrah masyarakat, perkara baik yang dibuat jarang diperktakan sebaliknya lebih suka bawa mulut membuat tohmahan…
"Dalam kategori Finance BSKL, hanya 4 kaunter sahaja yang mendapat pengiktirafan Syariah dan 4 kaunter tersebut bukannya kaunter syarikat insurans konvensional"

Ya, dalam senarai kaunter BSKL memang MAA atau mana – mana syarikat insurans konvensional lain tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang diluluskan syariah. Ini kerana produk - produk insurans konvensional lain yang mempunyai riba (interest) masih berjalan (traditional life policy iaitu insurans jenis lama masih mempunyai pencarum dan ia tidak ditamatkan walaupun sekarang 100 % tidak lagi diperkenalkan untuk pencarum baru).

Tetapi saham BSKL amat berbeza dengan Dana Pelaburan Syariah di MAA ataupun di mana - mana syarikat insurans konvensional lain. Ini kerana dalam saham BSKL, jika anda beli saham MAA dengan nilai berbillion ringgit lalu memegang lebih dari 51% jumlah saham, maka anda kini menjadi pemilik baru MAA.

Sebaliknya bagi dana - dana Islamik Investment-Linked merupakan satu dana amanah saham yang tidak bercampur dengan dana pelaburan konvensional mahupun dana syarikat di BSKL. Dana - Dana Islamik inilah yang diiktiraf mengikut prinsip Syariah (halal dan bersih dari unsur riba) oleh Penasihat Syariah yang terlantik [4] kerana mereka mengaudit perjalanan pelaburan tersebut.

Salah faham yang berlaku (kerana tiada ilmu kewangan) ialah, jika anda beli berjuta ringgit dana Islamik MAA, anda tidak akan jadi pemilik MAA kerana ia hanyalah dana amanah saham. Sama seperti anda letak berjuta ringgit di dalam ASB, anda tidak mungkin menjadi pemilik PNB. Nampak perbezaannya ?

Jadi jelas bahawa perjalanan akaun pelaburan anda adalah halal kerana diniagakan dikaunter yang berbeza, walaupun diuruskan oleh syarikat yang sama. Setiap 6 bulan anda akan menerima penyata yang menyenarikan ke mana wang simpanan insurans anda dilaburkan. Pun begitu suka dijelaskan MAA atau mana – mana syarikat insurans konvensional sekalipun tidak melabur di dalam industri arak atau judi. Jadi di mana yang tidak halalnya insurans ini ?

Tawakal aje la….

Saya masih ingat konsep tawakal diajar dalam subjek Pendidikan Islam tingkatan 5 dan soalan berkaitannya pasti akan keluar dalam setiap peperiksaan SPM. Jika ada lupa, maksud bertawakal ialah berusaha sehabis baik, berdoa kepada Allah dan seterusnya berserah lalu redha dengan ketentuanNya. Ertinya usaha dahulu baru berserah kepada Tuhan, bukan berserah semata - mata tanpa usaha. Insurans adalah satu usaha yang boleh anda lakukan dan sudah terbukti ia satu cara yang paling berkesan dalam menangangi bencana kewangan, melainkan anda ada wang berjuta ringgit, tak payah gaduh la…

Penutup

Sebetulnya semua salah faham ini berlaku akibat ceteknya pengetahuan agama dan dangkalnya ilmu mengenai pengurusan kewangan yakni insurans. Semua persepsi ini datang semata – mata saya adalah consultant MAA, sebuah syarikat insurans konvensional. Tapi jika saya dari Takaful Malaysia, tak pa… No question ask… Sungguh malang sekali. Malang kerana kedangkalan orang Melayu di dalam ilmu kewangan berbanding dengan kaum lain yang mendahului kita…

Oleh itu saya menyeru anda di luar sana yang cetek pengetahuan agama dan tak tahu apa pun mengenai pengurusan risiko dan bencana kewangan (insurans) supaya BERHENTI BERCAKAP KOSONG kerana anda menyusahkan keluarga sendiri dan juga orang lain.

Jadi dimana pendirian anda ? Adakah anda bersama saya untuk membantu orang Melayu atau sebaliknya ? Hubungi saya untuk saya menilai risiko saudara dan melindungi saudara dari bencana kewangan…

Wallahualam bissowab


"PERLINDUNGAN BENCANA KEWANGAN"
Ahmad Nazri Zakariya (012 – 554 2058 \ z_ashraff@yahoo.com)
Consultant MAA Takaful Investment Link
Tekad Smart Planning Sdn. Bhd. (538317-K)
A corporate agency with MAA Assurance Berhad & MAA Takaful Berhad
[1] Sebab itu saya selalu menggesa anda BACA polis. Malah saya BANTU anda memajami polisi (Bahasa Malaysia)… Anda nak tuntut wang anda suatu hari nanti… Kena faham macamana nak tuntut, apa yang boleh dituntut, masa bila nak tuntut bla bla bla…
[2] Malangnya saya sering menerima complaint daripada masyarakat yang saya temui yang mengatakan syarikat insurans menipu. Nak buat tuntutan ini tak dapat, nak claim itu tak boleh. Anda pasti ke ??? BACA polisi anda. Jika anda fikir anda benar maka saya seru anda, saya akan bantu anda CABAR syarikat insurans di mahkamah… kerana itu hak anda…
[3] Suami boleh beli insurans untuk diri sendiri, anak dan isteri sebaliknya seorang anak tak boleh beli insurans untuk ayah atau ibu (masih ingat takrif asas insuran yang mengelak berlakunya keuntungan ?)
[4] syarikat Hijrah Strategic Advisory Group

No comments: